Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan

Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan
Pepatah pernah berbunyi: Jika hendak merosakkan tanaman "racunlah akarnya. "Jika hendak merosakkan "bangsa", racunilah "Sejarah" mereka... Dalam Musnad Imam al-Rubai’ diriwayatkan hadith berikut; لَعَنَ اللَّهُ الْمُسَلَّطَ عَلَى أُمَّتِي بِالْجَبَرُوتِ، وَالْمُسْتَأْثِرَ بِفَيْئِهَا “Allah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya.” Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah memberikan nasihat tentang cara berinteraksi dengan pemimpin yang zalim iaitu (mafhumnya), “Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, bahkan jangan menemuinya. Berjumpa dan bergaul dengan mereka hanya membawa petaka. Tetapi sekiranya kamu bertemu dengan mereka, jangan memuji-muji mereka (tetapi nasihatilah kepada kebaikan), kerana Allah sangat murka ketika orang fasik dan zalim dipuji. Dan barangsiapa mendoakan mereka panjang umur, maka sesungguhnya dia suka agar Allah diderhakai di muka bumi.”

Monday 4 July 2011

Hudud dalam masyarakat Majmuk







Prof Dr. H Ghafoori Fard, menyatakan bahawa negara yang majmuk seperti Malaysia ini tidak sesuai dilaksanakan hudud. Tentulah kenyataan sebegini tidak akan dipetik oleh Harakah atau parti Pas.
Jika kenyataan ini dikeluarkan oleh cendekiawan Islam atau pemimpin Islam di Malaysia sudah tentulah parti pas akan menggunakan kenyataan ini untuk menyerang kembali individu tersebut sebagai menghina Islam.
Malangnya, bila kenyataan ini datang dari penasihat kepada seorang presiden yang amat dikagumi oleh Pas tentulah mereka mengelukan lidah seribu bahasa. Ini bukan pula bermakna penulis bersetuju atau berpegang teguh dengan kenyataan Penasihat kepada Presiden Iran ini sahaja.
Tapi kenyataan ini dipetik bagi menunjukan dilema Kerajaan Malaysia. Apabila Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir menyatakan kesukaran untuk melaksanakan hudud di negara majmuk seperti kita, seorang pemimpin parti Pas bingkas membidas dan mendakwa zaman Rasulullah s.a.w. dulu juga bersifat majmuk.
Apakah kelompok yang bingkas membidas ini faham erti majmuk sekarang dengan zaman Rasulullah? Dr. Mahathir membincangkan majmuk dari sudut agama kerana ia membincangkan hudud. Kenapa relevannya perbincangan majmuk agama? Ini kerana Hudud sendiri diperbahaskan perbezaan antara Islam, ahli kitab dab bukan Islam yang bukan ahli kitab.
Ironisnya, parti yang membezakan pelaksanaan hudud mengikut agama ini, melihat pula majmuk dalam perbincangan hudud ini dalam konteks budaya, bangsa dan kabilah.
Bagaimanakah cara pemimpin ini berfikir dengan melihat majmuk bangsa dan kabilah untuk mepertahankan hudud yang mereka pecahkan pelaksanaannya mengikut agama.
Siapakah ahli fikir antara kedua pemimpin ini? Rakyat yang bijak boleh menilai antara pencari kebenaran dengan pengeksploitasi agama.
Kedudukan masyarakat majmuk di Malaysia amat berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman Rasulullah s.a.w, sungguhpun masyarakatnya majmuk tetapi ia lebih kepada majmuk kekabilahan, bangsa, budaya dan adat resam.
Manakala dari segi agama hampir sebahagian besarnya beragama wahyu sama ada Islam, Kristian atau Yahudi yang hukum dalam Injil dan Taurat mereka hampir sama malah kadang-kadang jauh lebih berat dari Islam. Dalam kedudukan inilah Islam memberi pilihan sama ada untuk mengikut hukum hudud Islam atau hukuman agama mereka.
Ini jauh berbeza dengan Malaysia. Di mana masyarakat majmuk agamanya tidak bersandarkan agama wahyu.
Oleh kerana majmuknya bukan agama wahyu, Pas membuat ketetapan kepada bukan Islam memilih undang-undang sivil atau hudud.
Dengan kata lain, Pas memberi peluang kepada bukan Islam memilih undang-undang yang lebih ringan dari Islam. Ini berbeza dengan zaman Rasulullah di mana undang-undang Islam lebih ringan atau setara dengan agama wahyu yang lain.
Sungguhpun diriwayatkan ada agama majusi dan penyembah berhala tetapi sebesar mana golongan ini, adakah mereka masih wujud ketika hukuman hudud mula dilaksanakan dan apa hukuman yang setara untuk mereka tidak disebut atau terdapat fakta yang jelas.
Kerajaan melalui cerdik pandai Islam yang ada dalam kerajaan bukan sahaja mengambil kira kedudukan hudud kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam.
Ijtihad yang ada hari ini terutamanya yang dipegang oleh Pas adalah bukan Islam di Malaysia boleh dikecualikan dari Hudud. Ini berdasarkan pandangan bahawa dalam al-Quran hanya membicarakan tentang orang Islam dan ahli kitab (yakni Yahudi dan Nasrani) sahaja.
Dalam keadaan 45% (hampir separuh) daripada penduduk Malaysia ini merupakan bukan Islam, undang-undang yang tidak seragam boleh memberi pelbagai implikasi besar kepada pentadbiran, undang-undang dan kestabilan masyarakat pada masa depan jika tidak ditangani secara teliti.
Apatah lagi bila bukan Islam yang bukan Yahudi dan nasrani (majoriti bukan Islam di Malaysia) tidak tertakluk kepada hudud ini. Ini perlu diambil kira secara serius oleh kerajaan dan parti yang bertanggungjawab seperti UMNO.
Ini juga yang menjadi masalah kepada kerajaan Islam Malaysia. Tidak ada satu contoh terdahulu untuk diikuti dalam konsep masyarakat majmuk hari ini yang hampir 50% rakyatnya didakwa oleh Pas tidak tertakluk dengan Hudud.
Dalam zaman Rasulullah hukuman yang dikenakan ke atas Islam dan bukan Islam (yang diklasifikasikan sebagai ahli kitab) adalah serupa tetapi apakah hukuman ke atas golongan bukan ahli Kitab seperti Majusi? Ini tidak diperdebatkan secara jelas.
Pada zaman Rasulullah juga kegiatan jenayah kerap kali berlaku dalam kelompok atau kabilah. Jarang sekali Yahudi, Nasrani dan Islam tinggal dalam satu penempatan atau taman atau kawasan perumahan seperti di Malaysia. Jadi jarang wujud kes-kes perkongsian jenayah seperti di Malaysia.
Bayangkan sistem kehakiman yang bagaimana kita akan bentuk dengan 45% orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang yang serupa.
Pembahagian ini bertambah kompleks bila berlakunya perkongsian jenayah antara bukan Islam dan Islam atau perlakuan jenayah oleh individu atau kumpulan atas individu atau kumpulan lain yang berbeza agama Islam dan bukan.
Ini belum lagi dibincangkan kos yang begitu besar terpaksa digunakan unruk mewujudkan dua sistem perundangan yang berasingan secara menyeluruh.
Mampu dan berbalaoikah Malaysia sebagai sebuah negara membangun menampung kos penduaan kehakiman ini, sedangkan hudud itu sendiri merupakan satu hukuman yang memerlukan pembuktian yang sukar dan boleh dilepaskan melalui taubat?
Ijtihad-ijtihad ulama terdahulu bahawa bukan Islam tidak tertakluk kepada hudud adalah berdasarkan faktor negara tersebut.
Kebanyakan negara yang menjadi naungan negara imam-imam muktabar dahulu sungguh pun pelbagai agama tetapi jumlah bukan Islam termasuk nasrani dan yahudi amat sedikit.
Ini tentulah tidak menimbulkan sebarang permasalahan dari segi pentadbiran undang-undang dan kehakiman berbanding Malaysia.
Bagi Pas memang mudah untuk berjanji dan bercakap tapi bila tiba untuk melaksanakan barulah mereka sedari ia bukan semudah berceramah dan berjanji. Hingga sekarang mereka masih gagal melaksanakan hudud lantas menyalahkan kerajaan pusat.
Sebelum masuk pilihan raya lagi mereka telah mengetahui bahawa mereka tidak mungkin melaksanakan hudud dengan 60 kerusi Parlimen yang mereka tandingi. Mengapa mereka berjanji juga? Kerana mereka mempunyai kambing hitam, yakni UMNO, untuk disalahkan.
Hudud bukanlah satu perkara yang begitu mustahak dan memerlukan pelaksanaan segera dalam negara aman seperti Malaysia hari ini. Lebih banyak perkara-perkara besar yang mendasari persoalan umat Islam dalam penguasaan ekonomi, politik dan sains teknologi.
Ini bukan bermakna Hudud tidak berguna atau UMNO ingin menolak hudud. Tetapi pemerintahan yang diasaskan oleh UMNO adalah berdasarkan keutamaan bukan emosi dan sentimen. Hudud seperti kata Hadi Awang hanya 1/10 ribu daripada hukum Islam.
Dalam perundangan Islam hal-hal membabitkan undang-undang kekeluargaan Islam dan Faraid, lebih banyak dan penting untuk dilaksanakan secara teratur dan sistematik.
Hingga hari ini situasi ini pun tidak selesai secara tuntas lagi.
Ini belum termasuk sistem pentadbiran Islam, isu pendakwaraya syarie, isu pembahagian kuasa antara kuasa pusat dan negeri, penyediaan pelbagai kepakaran serta pelbagai perkara lain yang membabitkan perundangan Islam perlu diselesaikan. Ini semua perlu diteliti terlebih dahulu.
Justeru dalam UMNO, hudud sungguh pun hukum Allah swt yang tidak pernah ditolak oleh UMNO tetapi juga bukan keutamaan pada masa ini. Apatah lagi Rasulullah s.aw. dalam beberapa riwayat juga kelihatan mengambil sikap mengampunkan pesalah daripada mengukum dengan hudud.
Manakala Pas terpaksa bermodalkan hudud semata kerana isu-isu pelaksanaan hukum hakam Islam yang lain telah dijalankan dengan baik oleh UMNO.
YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dari semasa ke semasa menekankan peri pentingnya melaksanakan hukum hakam Islam secara berhemah dan bertanggungjawab dan juga tidak melampaui batas-batas yang Allah swt tetapkan.
Pandangan Dr. Mahathir dalam hal ini adalah jelas bahawa banyak perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu dalam usaha merealisasikan pelaksanaan hudud ke atas umat Islam pada masa hadapan.
Secara logiknya, tidak mahukah UMNO menutup terus modal politik Pas jika ia mampu melaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan masyarakat dan negara hari ini?
Jika mempunyai ruang dan kemampuan untuk melaksanakan Hudud pada masa ini, nescaya hari ini juga UMNO laksanakan kerana hanya itu sahaja beban agama yang belum dapat dilaksanakan oleh UMNO; dan ia juga menjadi beban politik UMNO kerana Pas menggunakan isu ini untuk memecah belahkan ummah.
Sudah tentu perbingcangan mengenai kesungguhan tersebut akan dipertikaikan berdasarkan kononnya UMNO tidak berusaha. UMNO sebenarnya turut berusaha tetapi dengan kaedah dan cara yang berlainan dengan Pas kerana UMNO mempunyai banyak keutamaan terhadap umat Islam termasuk kekuatan dari segi ekonomi dan politik.
Kesungguhan UMNO dan Dr. Mahathir antara tindakan terawal beliau selepas menjadi Perdana Menteri ialah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Hukum Hudud peringkat Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh (Allahyarham) Prof Ahmad Ibrahim, seorang tokoh perundangan Islam yang amat diakui oleh masyarakat antarabangsa, bukannya peguam sekular seperti Tun Salleh Abas dan Wan Mutalib Embong yang merangka Draf Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan 1993 (Hudud) dan Hudud Terengganu.
Banyak perkara yang disarankan oleh jawatankuasa tersebut dilaksanakan secara perlahan-lahan tetapi berterusan.
Antara lain pelbagai perkara pembaikan dan pelaksanaan peringkat bawahan perlu dilakukan sebelum melaksanakan hudud ini. Ini termasuk melakukan secara sedikit demi sedikit dan beransur-ansur serta memperbaiki kualiti pentadbiran Islam negeri-negeri.
UMNO menyedari bahawa hukum hakam Allah swt bukannya bahan mainan politik atau janji-janji pilihan raya. UMNO hanya boleh berjanji perkara yang mampu dilakukannya. Bukan cara UMNO untuk menang pilihan raya melalui janji palsu, apatah lagi janji menggunakan agama.
Tapi Pas sanggup membuat manifesto khas untuk Terengganu kononnya mereka akan melaksanakan hudud jika menang di Terengganu. Bila menang sekali lagi disalahkan kerajaan Pusat.
Jika tahu kuasa di tangan Pusat mengapa manifesto khas mengenai Hudud hanya untuk Terengganu, bukannya dalam manifesto pilihan raya pembangkang peringkat nasional?
Ayat-ayat Allah swt digunakan sebagai umpan pilihan raya walaupun mengetahui tidak mampu melaksanakannya. Inilah satu percaturan menipu rakyat yang amat licik dan tragis kepada umat Islam.
Sama ada hudud terlaksana atau tidak bukan satu ukuran keIslaman sesebuah kerajaan atau seseorang pemimpin. Apatah lagi bertuahnya orang Islam dapat menguasai kepimpinan negara sungguhpun jumlah bukan Islam hampir menyamai orang Islam.
Jika UMNO juga seperti Pas yang beremosi dan bersentimen melulu setiap masa, bolehkah kepimpinan Islam di negara ini menjadi kukuh, kuat dan dihormati oleh bukan Islam?
Daripada mempunyai kerajaan yang lemah dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk umat Islam kecuali hudud (itu pun belum tentu terlaksana); lebih baik mempunyai kerajaan yang kuat yang tidak dapat melaksanakan hudud tetapi boleh melaksanakan banyak perkara yang lebih besar untuk umat Islam.
Ini semua adalah kebijaksanaan UMNO yang tidak ada kepada Pas.
Selebihnya terserah kepada kita sama ada untuk meyakini janji pas yang tidak pernah tertunai sungguhpun telah memerintah dua buah negeri atau mengukuhkan kedudukan UMNO, parti yang telah sekian lama mentransformasikan umat Islam dari zaman gelap kepada perubahan yang penuh kegemilangan pada hari ini dan masa depan.
Terserah juga kepada kita sama ada untuk mempercayai para penceramah Pas yang hidup dalam dunia impian dan idealis tanpa pernah mengenali erti dunia realiti cabaran politik semasa; atau mempercayai pandangan penasihat Presiden Iran yang berpengalaman duduk di dalam pemerintahan sebuah negara yang suatu ketika penuh dengan aura yang dianggap sebagai kebangkitan Islam.
Wallahualam. Yang baik dari Allah swt, yang cela dari penulis yang penuh kelemahan.

No comments:

biar hati berbicara & menilainya

biar hati berbicara & menilainya